KUALA LUMPUR: Bekas madu pelakon Miera Leyana, Adibah Abdul Mutalib, 50 selaku defendan, berasa wajar untuk hadir membela diri bagi mendapatkan keadilan apabila didakwa nusyuz oleh bekas suaminya, Rosland Othman.
Wanita itu ditemui selepas perbicaraan tuntutan kes nusyuz membabitkannya yang difailkan bekas suami, Rosland 50, pada Disember 2021 lalu, ketika mereka masih bergelar suami isteri.
“Saya yakin, saya tidak nusyuz. Saya pun tak tahu apa yang dia (bekas suami) nak dan saya hanya membela diri,” kata Adibah.
“Saya sudah bersedia membela diri kerana saya yakin berada di pihak yang benar,” katanya mengakui reda dengan ujian dilalui ini.
Adibah hadir ke mahkamah bagi sambungan perbicaraan kes tuntutan nusyuz yang difail dan diteruskan oleh bekas suaminya, Rosland walaupun mereka sudah sah bercerai talak satu pada 3 Ogos lalu.
Bagaimanapun, perbicaraan kes nusyuz itu akan disambung pada tarikh 21 dan 26 September depan untuk Adibah memberi keterangan balas selepas keputusan dibuat hakim, Abdul Fattah Kamaruddin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Difahamkan, Rosland memfailkan tindakan nusyuz terhadap Adibah ketika mereka masih suami isteri atas faktor alasan ingkar perintah suami apabila tidak meminta izin ketika keluar dari rumah.
Adibah dan Rosland sudah berkahwin selama 28 tahun pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.
Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana pada Julai 2020 lalu.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.