MUAR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual terhadap anak saudaranya di Segamat, minggu lalu.
Tertuduh berusia 42 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak saudaranya berusia 12 tahun di sebuah rumah di Segamat, jam 7.40 malam, 21 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa sedang bermain telefon di ruang tamu dalam keadaan rumah bergelap sebelum ternampak kelibat tertuduh keluar dari bilik.
Mangsa kemudian ketakutan dan bersembunyi di belakang sofa namun dikesan tertuduh. Pada ketika itu, tertuduh menyergahnya dan mangsa bertindak melarikan diri.
Dalam cubaan itu, tertuduh memeluk menyebabkan mangsa meronta-ronta untuk melepaskan diri selain tidak gemar dengan perbuatan dilakukan tertuduh.
Selepas kejadian itu, mangsa memberitahu ibunya sebelum laporan dibuat di Balai Polis Buloh Kasap, pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh.
Pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling ketika menjalani hukuman serta pengawasan polis setahun sebaik keluar penjara selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.