comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] ‘Saya menyesal bagi dia bela anak itu’


IPOH: “Kenapa buat anak aku macam tu?” luah ibu kandung kanak-kanak perempuan yang maut akibat didera ibu angkatnya, minggu lalu.Ungkapan itu diluahkan Siti Nurhidayatul Akmar Mohd Zamry, 28, ketika mengikuti prosiding pendakwaan dalam Mahkamah Majistret di sini hari ini, ketika tertuduh bagi kes itu dibawa keluar dari kamar mahkamah.

Terdahulu, tertuduh, Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 28, mengangguk tanda memahami pertuduhan membunuh kanak-kanak itu yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret S. Punitha.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa perbicaraan Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Wan Fatimah Zahra didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Iman Adelia Yusullah, 5, di sebuah rumah di Jalan Kledang Raya 23, Taman Malcop, Silibin, di sini antara tempoh 5 hingga 10 Jun 2024.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Buletin TV3 (@buletintv3)

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjarakan di antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi luar kamar mahkamah selepas prosiding itu apabila beberapa lagi waris mangsa termasuk nenek mangsa, Zanuriyah Mohd Madzlan, 65, kelihatan bersedih.

Tertuduh, Wan Fatimah Zahra didakwa membunuh Iman Adelia Yusullah, 5, di sebuah rumah dekat Jalan Kledang Raya 23, Taman Malcop, Silibin, Ipoh ketika di dakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari Ini. – FOTO NSTP

Siti Nur Hidayatul Akmar ketika ditemui pemberita di luar kamar mahkamah selepas prosiding pendakwaan itu, mendakwa dia dan tertuduh sebelum ini berkawan baik sejak zaman persekolahan.

Katanya, mangsa adalah anak ketiganya dari empat beradik yang mana jagaannya diserahkan kepada Wan Fatimah Zahra sejak April lalu atas alasan kawan baiknya itu sudah lama berkahwin namun belum dikurniakan anak.

“Saya menyesal bagi anak itu dibelanya (oleh tertuduh). Dua ke tiga hari sebelum meninggal (hari kejadian), memang dia (tertuduh) ada kata nak hantar balik kepada saya, tetapi akhirnya yang saya dapat anak saya dalam keadaan sudah tak bernyawa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan sepasang suami isteri pada 10 Jun lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang merupakan anak angkat mereka yang mati dipercayai kerana didera di Taman Malcop, Silibin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini