comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] “Saya buat ini untuk semua” – Nik Elin

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid menyifatkan tindakan beliau mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah untuk kepentingan semua dan bukan bersifat peribadi.

Menurutnya, beliau bersyukur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebahagian besar memihaknya.

“Saya buat ini bukan untuk diri saya, (tapi) saya buat untuk semua dan setelah dikutuk, dikeji, dilaknat, Alhamdulillah (dengan keputusan).

“Semua bersetuju memang ada pelanggaran Perlembagaan Persekutuan dan (tindakan cabar) untuk menegakkan keagungan Perlembagaan Persekutuan serta demi kebaikan Malaysia.

“Saya balik Kelantan, saya tidak terima kecaman pun, semua menyokong saya,” katanya yang ditemui di lobi Istana Kehakiman selepas prosiding keputusan, di sini hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dicabar adalah tidak sah dan terbatal.

Panel 9 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina yang berasal dari Kelantan dan anaknya, Tengku Yasmin NastashaTengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen berkenaan.

Ketika membaca penghakiman, Tengku Maimun berkata, pembatalan itu kerana Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut dan intipati peruntukan terbabit adalah berkenaan perkara di bawah senarai Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Jelas Nik Elin Zurina, sebagai peguam yang merupakan pegawai mahkamah, beliau percaya ia menjadi tugas dan tanggungjawabnya untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Ditanya adakah beliau akan mencabar undang-undang yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) lain, Nik Elin Zurina berkata, beliau tidak berhasrat berbuat demikian.

Namun, beliau percaya DUN akan berhati-hati dalam menggubal undang-undang selepas ini.

Sementara itu, Tengku Yasmin Nastasha dalam reaksi ringkasnya berharap keputusan mahkamah tersebut akan mengharmonikan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini