Tumpuan :
Mahkamah

Sarjan polis direman 6 hari, bantu siasatan minta suapan RM3,000 kes dadah

Seorang anggota polis berpangkat Sarjan diringi pegawai SPRM di Mahkamah Majistret, Georgetown. FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan direman enam hari bagi membantu siasatan selepas disyaki meminta suapan RM3,000 sebagai balasan menyelesaikan kes seorang pekerja kilang positif dadah.

Majistret Siti Nur Suhaila Baharin membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini, bermula hari ini.

Tempoh reman sehingga Rabu depan dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek berusia 38 tahun itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut tiba di pekarangan mahkamah jam 9.05 pagi dengan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM.

Sumber berkata, suspek meminta wang daripada seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga pekerja kilang sebagai balasan untuk menyelesaikan kes ujian saringan air kencingnya yang didapati positif dadah pada 19 Ogos tahun lalu.

“Pengadu menjalankan ujian air kencing dan positif dadah jenis Benzo dan kemudiannya ditahan satu malam di lokap IPD Timur Laut, sebelum dilepaskan dengan jaminan polis pada keesokan harinya.

“Pada 11 Januari lalu, pengadu berjumpa suspek yang juga pegawai penyiasat kes di IPD Timur Laut dan ketika itu, suspek meminta wang RM3,000 sebagai balasan menyelesaikan kes ujian air kencing pengadu.

“Rabu lalu, pengadu sekali lagi dihubungi suspek yang memintanya datang ke IPD Timur Laut untuk membincangkan kes serta wang RM3,000 itu,” katanya hari ini.

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggota polis terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini