Oleh: Juliana Sharin
SELAYANG: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata dianggap menghasut yang mempunyai “kecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja”.
Hakim Osman Affendi Shalleh membenarkan ikat jamin RM5,000 dan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Oktober depan.
Tertuduh juga dilarang membuat sebarang komen sehingga kes selesai.
Artikel berkaitan : Sanusi didakwa buat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu didakwa melakukan kesalahan itu di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dalam satu ceramah politik pada jam 11 malam, 11 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Sanusi mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap raja.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 .