Tumpuan :
Mahkamah

Samun bersenjata: Dua beradik mengaku tidak bersalah

Tertuduh Ahmad Fazrin Naharoddin dan adiknya Mohamad Hafiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata pisau dan parang bulan lalu. – Foto NSTP

IPOH: Dua beradik mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi dua pertuduhan melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata, bulan lalu.

Mohamad Hafiz Naharoddin, 28, dan Ahmad Fazrin Naharoddin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan pisau ke atas wang tunai milik S Sarala, 36, bernilai RM200 di KK Hanans Cash and Carry di Desa Rishah Indah di sini jam 3.35 petang, 12 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dua beradik itu dituduh secara bersama melakukan rompakan berkumpulan ke atas S Latchemee, 50, dengan mencuri telefon bimbit jenama Samsung Note 3, telefon bimbit jenama Oppo, sebentuk cincin emas, beg tangan mengandungi kad pengenalan, kad kredit, kad bank, wang tunai kira-kira RM200 dan sepasang subang emas.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai komputer di Desa Rishah 1, Desa Rishah Menglembu jam 11.30 pagi, 23 Oktober lalu.

Di mahkamah sama, Ahmad Fazrin bersama seorang yang masih bebas turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik Halimatonrahmah Ab Rahman, 35, iaitu dengan melarikan sebuah telefon bimbit jenama Redmi, sebuah telefon bimbit jenama Realmi, serta wang tunai RM130 dengan melakukannya bersenjatakan sebilah pisau.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai vape di Persiaran Meru Point, Taman Seri Meru, di sini, pada jam 9 malam, 5 Oktober lalu.

Sementara itu dalam prosiding sama, Ahmad Fazrin bersama seorang lagi yang masih bebas juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan samun kumpulan bersenjata, bulan lalu.

Ahmad Fazrin dan individu terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai farmasi di Jalan Tun Abdul Razak, di sini, dan di sebuah kedai serbaneka di Taman Perindustrian Menglembu Jaya, di sini yang masing-masing pada tarikh 6 Oktober dan 17 Oktober lalu.

Hakim membenarkan jaminan RM25,000 bagi Ahmad Fazrin dan RM10,000 bagi Mohamad Hafiz, dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, selain menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini