Tumpuan :
Mahkamah

Sami tidak mengaku salah lakukan amang seksual, miliki bahan lucah

S Shanmugam tidak mengaku salah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Kuantan, hari ini. FOTO: NSTP

KUANTAN: Seorang sami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas dua pertuduhan iaitu melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki di sebuah kuil dan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.

Tertuduh, S Shanmugam, 42, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal kepada remaja lelaki berusia 16 tahun kira-kira jam 11.30 malam antara 15 dan 17 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Shanmugam didakwa memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya di sebuah bilik kuil itu kira-kira 11.30 malam pada 15 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh diwakili peguam, S Kumeraselvam.

Azman menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi berkaitan kes itu.

Beliau kemudiannya menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini