Tumpuan :
Mahkamah

Saksi menangis lakon semula jumpa mayat Zayn Rayyan

PETALING JAYA: Saksi pendakwaan keenam yang menemui mayat Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menangis semasa melakonkan semula aksi ketika menemui jenazah kanak-kanak autistik itu.

Eksekutif jualan, Faizul Najib Abd Munaim, 47, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dia menangis kerana rasa kesal berikutan lambat bertindak mencari mangsa sehingga kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian, saksi itu menjelaskan dia menemui mayat Zayn Rayyan atas timbunan pasir di aliran sungai dalam kawasan belukar berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai pada sekitar jam 9.40 malam, 6 Disember 2023.

Faizul Najib yang juga Timbalan Pengerusi Surau Al-Hidayah itu berkata, semasa pencarian bersama dua individu lain di kawasan berkenaan dengan lampu suluh, dia terlihat mangsa dalam keadaan terbaring.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring mengiring atas rusuk sebelah kiri, kaki membengkok, baju terselak dan kelihatan urat yang sudah timbul.

Faizul: Apabila saya nampak badan adik ni, saya terus jerit “Dah jumpa, panggil ambulans” dan saya terus terjun ke bawah sungai itu, lalu pergi ke arah budak itu.

Kamarul Iman: Bagaimana keadaan sungai?

Faizul: Tempat terjun itu agak dalam sekitar had pinggang atau dada saya.

Kamarul Iman: Selepas kamu terjun, kamu nampak keadaan badan (Zayn Rayyan) bagaimana?

Faizul: Bersih seperti seolah-olah sedang tidur. Saya sangka apabila saya jerit, mungkin dia respons paling tidak kelip mata, tetapi malangnya tiada respons dan saya tengok jasad budak ini ada baju terselak sikit dan di situ saya nampak urat badan sudah timbul.

Kamarul Iman: Bagaimana keadaan sungai ketika penemuan badan itu?

Faizul: Badan mayat di atas timbunan pasir, manakala ketinggian air sungai adalah pada paras tumit.

Kamarul Iman: Adakah badan budak yang kamu nampak ditenggelami air?

Faizul: Tidak ditenggelami air.

Perkara itu dimaklumkan Faizul pada hari keempat prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Faizul berkata, sebaik melihat urat yang timbul pada bahagian baju terselak, dia terus menangis kerana berasa kesal lambat menemui mangsa.

Menurut Faizul, baju dan seluar Zayn Rayyan dalam keadaan bersih, malah tiada langsung kesan kotoran mahu pun darah.

Faizal berkata, seorang anggota polis dikenali sebagai Koperal Hunter yang bertanggungjawab terhadap kawasan itu tiba ke lokasi kejadian dan menutup mayat kanak-kanak itu dengan kot hitam, sementara orang ramai mula mengelilingi mangsa.

Menurutnya, satu minit selepas penemuan mayat itu, seorang lelaki yang mengaku datuk kepada Zayn Rayyan datang ke lokasi itu dan merangkul mangsa.

Terdahulu, Faizul memberitahu dia sudah berusaha mencari Zayan Rayyan sejak hari pertama kanak-kanak itu dilaporkan hilang iaitu pada 5 Disember 2023, selepas menerima maklumat berkenaan kehilangan mangsa melalui kumpulan WhatsApp.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding bersambung pada petang ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini