IPOH: Seorang remaja lelaki memberitahu Mahkamah Tinggi dia mendengar jeritan orang ramai yang berkumpul di lokasi perlanggaran berlaku bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie telah meninggal dunia.
Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata dia telah pergi ke tempat kejadian sebaik sahaja diberitahu oleh ibunya bahawa rakannya (Muhammad Zaharif) telah terlibat dalam satu kemalangan.
“Saya lihat ramai orang sedang melihat Zaharif terbaring di tepi jalan. Pada waktu itu saya dengar ramai yang katakan “Zaharif dah takde, Zaharif dah takde”.
“Saya pergi ke tempat kejadian dan turut membantu payungkan Zaharif,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata tidak lama kemudian, kenderaan polis sampai dan seorang lelaki yang berada di situ menyuruhnya dan kawan-kawannya pergi menunaikan solat Jumaat, seterusnya mereka pergi ke rumah mangsa.
Remaja itu berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes pegawai kanan polis Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke- 15 memberitahu mahkamah bahawa pada waktu pagi sebelum kejadian perlanggaran berlaku, Muhammad Zaharif ada memaklumkan kepadanya bahawa ekzos motosikal berkenaan dipinjam daripada rakan mangsa.
Remaja lelaki itu juga berkata motosikal yang ditunggang oleh mangsa adalah milik rakannya yang lain.
Terdahulu sewaktu pihak pendakwaan membaca ucapan pembukaan kes pada hari pertama perbicaraan terdapat 10 barang kes (ekshibit) antaranya sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mahkamah menangguhkan perbicaraan ke 2 Disember ini.