Tumpuan :
Mahkamah

Saksi cam wajah DSP langgar Zaharif

Mohd Nazri dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini. – FOTO: NSTP

IPOH: Seorang saksi dalam kes pegawai kanan polis didakwa menyebabkan kematian pelajar, mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini bahawa tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak adalah lelaki yang melanggar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, Disember tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-10 iaitu seorang remaja lelaki membuat pengesahan itu selepas Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membenarkan permohonan Timbalan Pendakwaan Raya Afzainizam Abdul Aziz supaya penghadang antara kandang tertuduh dengan kandang saksi dialihkan.

Permohonan itu dibuat sebaik pemeriksaan semula selesai bagi membolehkan saksi membuat pengecaman ke atas wajah tertuduh.

Afzainizam: Kamu lihat lelaki ini, siapa dia?

Saksi: Yang langgar Zaharif tu

Afzainizam: Yang Arif, tertuduh telah dicam oleh saksi. Saya pohon saksi dilepaskan.

Pada perbicaraan hari keenam di hadapan Hakim Bhupindar Singh hari ini, pihak pembelaan diwakili peguam, M Athimulan.

Terdahulu, semasa pemeriksaan balas bersambung pada sesi petang, Athimulan bertanya sama ada saksi melihat kelibat kakak kepada Zaharif selepas kejadian kemalangan antara Perodua Ativa dipandu tertuduh dengan motosikal Yamaha LC ditunggang mangsa.

Saksi itu berkata, dia melihat kakak mangsa hadir ke lokasi Zaharif dipindahkan selepas kemalangan itu iaitu di bahu jalan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati.

Menurutnya, wanita itu berada di situ dalam anggaran tempoh 20 ke 30 minit, bagaimanapun saksi tidak nampak kakak mangsa memberi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bertanya kepada saksi, sama ada dia bersetuju bahawa laporan polis yang dibuat olehnya di Ibu Pajabat Polis Daerah (IPD) pada 9.39 malam, 15 Disember tahun lalu yang sama isi kandungan dengan laporan polis yang dibuat empat rakannya adalah hanya ‘copy and paste’.

Mior: Siapa yang cadangkan kepada kamu dan kawan-kawan untuk buat laporan polis pada malam tersebut? Siapa arahkan?

Saksi: Tiada siapa. Saya yang nak pergi

Mior: Macam mana kawan-kawan yang lain?

Saksi: Mereka pun nak buat (laporan) sekali, jadi kami pergi bersama

Mior: Siapa yang draf laporan, idea datang daripada siapa?

Saksi: Tiada siapa, saya cerita pada polis apa saya nampak

Mior: Jadi kenapa sama?

Saksi: Saya tak tahu

Mior: Memandangkan laporan kamu sama dengan empat rakan kamu, setujukah kamu jika saya cadang bahawa laporan polis ini hanya ‘copy and paste’?

Saksi: Setuju

Semasa pemeriksaan semula oleh Afzainizam, saksi kanak-kanak itu menjelaskan bahawa dia dan empat rakannya membuat laporan polis secara secara berasingan, namun tidak tahu-menahu mengapa isi kandungan laporan adalah sama.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung pada esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini