Tumpuan :
Mahkamah

Rompak 5 warga asing, ibu tunggal dipenjara 9 tahun

Jamiyana dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas dipenjara sembilan tahun kerana merompak bersama rakan lelaki. – FOTO: NSTP

MUAR: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah merompak lima warga asing di daerah ini dan Tangkak, Ogos lalu.

Jamiyana Ab Aziz, 38, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan secara bersama rakan lelakinya, Abd Aziz Alhaffiz Ali, 36, yang tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, ibu kepada seorang anak didakwa bersama-sama lelaki itu, melakukan rompakan berkumpulan terhadap tiga warga asing di hadapan pasar raya di Tanjung Agas, Tangkak hingga Kampung Sabak Aur, di sini.

Mereka didakwa merompak wang tunai berjumlah RM620, jam tangan dan telefon bimbit dalam sebuah kereta antara jam 2.30 hingga 5 petang, 17 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, mereka bersama-sama merompak barang kemas berupa cincin, subang serta rantai leher milik dua warga asing di dalam kereta di Parit Zin Bakri, Batu 6, di sini, antara 5 hingga 6 pagi, 5 Ogos lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan atau denda bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff Marzuki manakala Jamiyana tidak diwakili peguam, rakan lelakinya pula diwakili peguam Syafiee Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar hujahan dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan pertama hingga ketiga manakala lima tahun untuk pertuduhan keempat, kelima dan keenam.

Kesemua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak bermula tarikh ditangkap, 19 Ogos lalu manakala perbicaraan terhadap rakan lelakinya ditetapkan pada 27 Januari depan.

Selepas menjatuhkan hukuman itu, Nariman meminta tertuduh insaf dan bermuhasabah diri sepanjang dipenjara.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh lelaki bersama wanita itu menaiki sebuah kereta dengan sasarannya adalah warga asing di pasar raya.

Tertuduh wanita akan mendekati warga asing dengan menawarkan khidmat menghantar pulang dan mengenakan bayaran tertentu.

Apabila mangsa bersetuju, mereka akan membawanya ke suatu tempat sebelum bertindak mengacu pistol mainan ke arah warga asing terbabit.

Mereka kemudian mengambil barangan berharga sebelum bertindak melarikan diri dengan kereta.

Siasatan awal polis mendapati tindakan kedua-dua tertuduh merompak warga asing kerana mahu membeli dadah.

Kesemua mangsa kemudiannya membuat laporan bersama di Balai Polis Ledang, Tangkak dan Bakri, Muar masing-masing pada 19 dan 22 Ogos lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini