Tumpuan :
Mahkamah

Rogol remaja OKU: Pengawal keselamatan dipenjara 15 tahun, 9 sebatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara 15 tahun dan sembilan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) yang juga kenalannya, bulan lepas.

Mohd Rafiee Abdullah, 27, yang berdepan tiga pertuduhan, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi setiap kesalahan.

Hakim Mohd Kafli Che Ali memerintahkan kesemua hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 3 Dis lepas.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun 6 bulan di sebuah stor di Jalan Kuchai Lama, Brickfields antara 5.29 pagi dan 5.54 pagi 28 November dan di sebuah unit pangsapuri di Cheras pada 7.30 malam 30 November lepas mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Lelaki itu turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama di tandas sebuah dewan, Taman Gembira, Brickfields di sini mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman serupa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shakira Aliana Alias memohon mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Beliau berkata hukuman yang berat bukan sahaja dapat memberi pengajaran kepada tertuduh malah menjadi mesej kepada pesalah di luar sana bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan jenayah seperti ini.

“Mangsa dalam kes ini adalah kanak-kanak yang berumur 14 tahun dan merupakan OKU kategori ketidakupayaan gangguan hiperaktif defisit perhatian (ADHD).

“Mangsa sepatutnya dilindungi, lebih-lebih lagi orang seperti tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan,” katanya.

Mohd Rafiee, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dan memohon agar hukuman penjara bagi ketiga-tiga pertuduhan berjalan serentak. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini