Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 40 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas empat pertuduhan merogol adik kandungnya sendiri.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 30 tahun selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Menurut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu berulang kali terhadap mangsa yang berusia 24 tahun, di sebuah rumah di Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu, antara Oktober hingga Disember tahun lalu.
Kejadian berlaku ketika ahli keluarga lain tiada di rumah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 4 Januari lalu.
Tertuduh akan menjalani hukuman 24 sebatan berdasarkan had maksimum yang dibenarkan mengikut Seksyen 288 Kanun Prosedur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.