SEREMBAN: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak satu daripada representasi yang dikemukakan penceramah selebriti, Azman Syah Alias, atau lebih dikenali PU Azman berkaitan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen, di sini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi di Mahkamah Sesyen ketika sebutan kes di hadapan Hakim Datin Surita Budin, hari ini.
Rasyidah Murni berkata, representasi membabitkan mangsa lelaki berusia 17 tahun ditolak AGC dan akan diteruskan untuk perbicaraan dengan pertuduhan asal, manakala representasi bagi mangsa lelaki berusia 16 tahun sudah diterima.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah yang mewakili Azman Syah, 43, memohon tarikh singkat kepada mahkamah bagi berbincang dengan anak guam mengenai arahan seterusnya berhubung keputusan representasi itu.
Pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dan Nurul Balkis Zunaidi.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan bagi status kes tertuduh di Penjara Kajang.
Dalam pada itu, Mohamad Zahid ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau tidak dapat mendedahkan secara terperinci keputusan representasi kerana tidak mahu mendahului mahkamah dan mahu merujuk kepada anak guam.
Beliau turut berkongsi perkembangan terbaru PU Azman yang berada dalam keadaan sihat di Penjara Kajang.
“PU Azman pesan supaya doakan dia… Alhamdulillah dia okay di Penjara Kajang dan hikmah di sebaliknya dia maklumkan sudah hafal satu juzuk di sana,” katanya.
Azman dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022.
Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.
Pada 27 September lalu, Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.