Tumpuan :
Mahkamah

Rempuh sekatan jalan raya, lelaki didenda RM1,700

Mohamad Bariq (baju ungu) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas didenda kerana menghalang penjawat awam dengan merempuh sekatan jalan raya. – Foto: NSTP

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang penjawat awam dengan merempuh sekatan jalan raya, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Bariq Kamsan, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca  di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman.

Dia dikenakan denda sebanyak RM1,700 dan diarah menjalani hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Bariq didakwa menghalang Koperal Shaiful Ezeham Hamid daripada menjalankan tugas ketika mengadakan sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Besar Tongkang Pechah, di sini, pada jam 10 malam, 18 Disember lalu.

Tertuduh yang bekerja kampung didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mengikut fakta kes, tertuduh yang berseorangan ketika memandu sebuah kereta ketika melalui sekatan jalan raya di Tongkang Pechah tidak mengendahkan arahan  polis supaya berhenti sebelum bertindak memecut.

Anggota polis kemudian mengejarnya dengan mengeluarkan lima kali siren amaran namun dia tidak mengendahkannya, sehingga berjaya ditahan.

Terdahulu, pihak pembelaan memberitahu anak guamnya memilih untuk membayar denda dan memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman paling minimum.

Bagaimanapun, pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berdasarkan kesalahan dilakukan tertuduh serta pengajaran kepada orang lain.

Loading...
Terkini