comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Reman ibu, teman lelaki dera anak hingga mati disambung seminggu

Foto hiasan

SERDANG: Wanita dan teman lelakinya yang ditahan selepas mendera anak kandungnya hingga mati di kediaman mereka di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan di sini, 22 Ogos lalu, disambung reman tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, permohonan reman kedua-dua suspek selama tujuh hari sebelum ini tamat pada 29 Ogos lalu.

“Reman wanita berusia 44 tahun dan teman lelakinya berusia 29 tahun disambung tujuh hari lagi sehingga 5 September ini bagi membantu siasatan.

“Kita akan maklumkan kemudian sekiranya mendapat arahan tuduh daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita dengan teman lelakinya menggunakan helah dengan membuat laporan palsu mendakwa anak lelakinya dilanggar sebuah lori.

Tindakan itu bagi menyembunyikan rahsia daripada pihak hospital bahawa kecederaan dialami kanak-kanak berusia lima tahun itu adalah akibat didera ibu dan teman lelakinya yang mempunyai tabiat suka mendera.

Berdasarkan laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Serdang kanak-kanak berkenaan diterima sebagai pesakit jam 12.50 tengah malam, 22 Ogos lalu sebelum dilaporkan meninggal dunia dengan terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera.

Susulan itu, polis menahan ibu mangsa yang juga suri rumah dan teman lelakinya bekerja sebagai pemandu lori pada 22 Ogos lalu.

Loading...
Terkini