Tumpuan :
Mahkamah

Reman 6 polis: Mahkamah Rayuan tetap 15 Ogos untuk SPRM kemuka permohonan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 15 Ogos sebagai tarikh mendengar permohonan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang menolak permohonan reman enam anggota polis.

Ketika dihubungi Bernama, peguam Datuk Geethan Ram Vincent mengesahkan tarikh baharu telah ditetapkan untuk mendengar rayuan terbabit.

Berikutan itu, dua tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 20 Julai dan 14 Ogos dilapangkan.

Geethan Ram mewakili tiga daripada enam anggota polis yang SPRM memohon reman kerana didakwa meminta dan menerima rasuah RM5,000.

Bagi tiga lagi anggota polis, peguam Revin Kumar Shasai Kumar, Lavanyia Raja dan Eu Kah Mun telah dilantik secara individu untuk mewakili mereka.

Sebelum ini, Bernama melaporkan, enam anggota polis termasuk seorang berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut direman sehingga 11 Mei, bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah berjumlah RM5,000.

SPRM dalam kenyataan berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Temerloh, Mohamed Shah Reza Noor Azman.Menurut kenyataan itu, semua mereka ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu, apabila dikatakan meminta suapan daripada seorang lelaki bagi menyelesaikan kes serbuan serta penemuan air ketum di rumah lelaki berkenaan.

Selain Inspektor yang berumur 36 tahun, lain-lain anggota polis yang ditahan adalah mereka yang berpangkat Lans Koperal, Koperal dan Sarjan Mejar, yang berumur antara 28 dan 46 tahun, semuanya bertugas di Bahagian Narkotik IPD berkenaan. — BERNAMA

Loading...
Terkini