KOTA BHARU: Seorang bapa bersama tiga anak lelaki yang disyaki ahli Global Holdings (GISBH) disambung reman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Mereka berusia antara 15 hingga 48 tahun disambung reman bermula esok sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan selepas dipercayai cuba melupuskan bahan bukti dengan menanam buku di Kampung Panji di sini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid untuk membantu siasatan pihak polis mengikut Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sebelum itu, empat beranak berkenaan ditahan di Seri Alam dekat Johor 24 September lalu selepas dipercayai cuba melupuskan bahan bukti dengan menanam buku di Kampung Panji di sini dan direman selama tiga hari bermula 25 September hingga hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis melakukan serbuan di kediaman pimpinan dan pengikut GISBH di Kampung Panji, Sabtu lalu.
Menerusi operasi berkenaan, puluhan buku ditemui ditanam di tepi sungai Pengkalan Datu dan lebih 30 individu termasuk isteri kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH diperiksa dan dibawa ke pusat saringan.
Pada 24 September, polis Kelantan menyerbu rumah amal dan sekolah milik GISBH di Gong Kulim, Pasir Puteh dan menemui pelbagai jenis buku berkaitan Aurad Muhammadiah dan Al-Arqam yang disembunyikan dalam stor dalam rumah amal terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.