Tumpuan :
Mahkamah

Remaja perempuan tidak mengaku tikam ibu saudara, dibenar ikat jamin

Remaja perempuan berusia 14 tahun diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap ibu saudaranya menggunakan pisau pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah ketika prosiding dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 34 tahun menggunakan sebilah pisau di sebuah flat di Jalan Prai Jaya, Seberang Perai Tengah, pada jam 11.30 pagi, 3 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Muhaimin Hashim.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan mencadangkan agar jaminan ditetapkan pada RM5,000, namun peguam membantah dengan meminta jaminan minimum disebabkan tertuduh merupakan pesalah kanak-kanak dan berkeinginan untuk kembali bersekolah dalam sesi akademik yang akan datang.

Mahkamah kemudiannya membenarkan remaja tersebut diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi kejadian sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 20 Mac depan bagi serahan laporan perubatan dan forensik.

Kronologi insiden

Pada Jumaat lalu, remaja itu ditahan polis selepas menikam ibu saudaranya di bahagian perut sebelah kiri, menyebabkan mangsa cedera.

Mangsa kini dirawat di sebuah hospital swasta di Butterworth.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, pertengkaran antara suspek dan ibu saudaranya bermula di ruang tamu rumah.

Punca pertengkaran dipercayai daripada keinginan remaja itu untuk tinggal semula dengan ibu kandungnya, yang dihalang oleh mangsa.

Remaja itu dilaporkan positif dadah jenis methamphetamine dan tidak bersekolah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini