Tumpuan :
Mahkamah

Remaja perempuan mengaku bersalah ugut, simbah cat

Remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas dua pertuduhan melakukan jenayah bagi menimbulkan kegentaran dan khianat dengan menyimbah cat merah, bulan lalu. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan jenayah bagi menimbulkan kegentaran dan khianat dengan menyimbah cat merah, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun itu membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 37 tahun dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya dan dalam melakukan ugutan jenayah itu tertuduh telah menyembunyikan identitinya.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat berwarna merah pada pintu pagar rumah dan pada sebuah kereta jenis Perodua Axia milik mangsa yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Pertanian 28, Taman Universiti, Skudai di sini, kira-kira jam 5.30 pagi, 29 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh diperintahkan untuk dilepaskan dengan amaran atau diberikan bon berkelakuan baik dengan apa-apa syarat yang dikenakan oleh mahkamah.

Selain itu, tertuduh boleh diperintahkan membayar denda atau perintah khidmat masyarakat atau dihantar ke sekolah diluluskan atau ke Sekolah Henry Gurney.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum jatuh hukum.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini