Tumpuan :
Mahkamah

Remaja mengaku rogol adik 

MUAR: Seorang penganggur akhirnya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol adik kandungnya di sebuah rumah di Ayer Hitam, Batu Pahat tahun lalu.

Tertuduh berusia 19 tahun membuat pengakuan itu ketika prosiding sebutan semula pertuduhan buat kali kelapan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol adiknya berusia 13 tahun di sebuah rumah di Ayer Hitam, Batu Pahat, jam 1 pagi, 18 Mei tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara 30 serta 10 kali sebatan.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh didakwa memaksa mangsa memasuki biliknya lalu melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sebelum itu, kejadian sama turut berlaku namun mangsa tidak menceritakan kepada ibu bapanya.

Bagaimanapun selepas tidak tahan dengan perbuatan tertuduh, mangsa pergi ke Balai Polis Ayer Hitam, Batu Pahat untuk membuat laporan.

Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan tertuduh lima hari kemudian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili Syaffie Naim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Susulan pengakuan itu, mahkamah menetapkan 28 Julai ini untuk fakta dan hukuman serta laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh pertama kali didakwa pada 29 Mei tahun lalu namun mengaku tidak bersalah.

Sebutan kedua dijalankan pada 27 Jun, diikuti 27 Ogos (ketiga), 3 September (keempat), 17 September (kelima), 24 September (keenam) dan terakhir pada 4 Oktober 2024 (ketujuh).

Ketika itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan serta faktor keselamatan mangsa.

Mangsa kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Rembau, Negeri Sembilan sejurus selepas kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini