Oleh Fazli Ahmad
KUANTAN: Seorang remaja lelaki dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Khas Trafik Kuantan hari ini, atas pertuduhan melakukan aksi berbahaya “wheelie”, 12 Mac lalu.
Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Fatimah Abu Bakar.
Remaja lelaki terbabit didakwa menunggang manakala remaja perempuan yang juga pelajar sebuah sekolah di Balok sebagai pembonceng melakukan kesalahan itu di Jalan Chendor, Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu kira-kira jam 5:30 petang 12 Mac lalu.
Video aksi berbahaya mengangkat tayar hadapan motosikal atau "wheelie" oleh seorang remaja lelaki bersama teman wanitanya di Jalan Chendor, Kuantan yang tular di media sosial pada 31 April lalu.
Sumber: Video tular pic.twitter.com/PaJVJuZ3fc
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) May 5, 2023
Mereka didakwa melakukan aksi berbahaya mengangkat tayar hadapan dengan mengambil kira keadaan jalan dan tindakan itu berbahaya kepada pengguna lain.
Pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun serta denda hingga RM15,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama 10 tahun.
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa, Inspektor Nafizah Ismail manakala kedua-dua remaja terbabit tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 7 Jun depan untuk pihak pendakwa mengemukakan laporan akhlak kedua-dua tertuduh sebelum hukuman diputuskan.
Kedua-dua remaja itu dibenarkan diikat jamin RM800 seorang.
31 April lalu, tular di media sosial aksi berbahaya dua remaja terbabit sebelum mereka ditahan polis di Balok, Kuantan sehari kemudian.