Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Fareez Azman
PUTRAJAYA: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini memohon mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi mendapatkan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.
Dalam hujahnya di hadapan tiga panel Hakim, Shafee antara lain memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar telah menerima salinan dokumen itu daripada Sultan Pahang semalam.
Jelasnya, ia selepas Mohamad Nizar menerima perintah menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memaklumkan kewujudan salinan Titah Adendum dalam simpanan baginda sehari sebelum itu.
“Keesokannya (5 Januari 2025) Nizar menerima salinan dokumen itu, yang merupakan rekod peribadi Sultan Pahang, yang menjelaskan mengapa ia tidak mempunyai tandatangan Sultan.
“Dengan bukti ini, saya percaya kita berjaya menyanggah keputusan mahkamah rendah yang menyatakan empat afidavit yang menyokong dakwaan Datuk Seri Najib termasuk daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah dengar cakap dan tidak boleh diterima.
“Oleh itu, kami memohon supaya bukti tambahan ini diterima supaya kami boleh menghujahkan rayuan ini dengan telus,” jelasnya.
Dalam prosiding rayuan hari ini, panel tiga hakim dianggotai Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.
Pada 3 Julai lalu 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Dalam permohonan yang difailkan April tahun yang sama, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.