Tumpuan :
Mahkamah

Rayuan Titah Adendum: Anak-anak Datuk Seri Najib, peguam tiba di Istana Kehakiman

Anak-anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tiba di Istana Kehakiman.

Oleh: Fareez Azman

PUTRAJAYA: Anak-anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tiba di Istana Kehakiman di sini sebentar tadi bagi mengikuti pendengaran rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Datuk Mohd Nizar, Datuk Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa tiba kira kira jam 8.50 pagi.

Hanya berselang lima minit, pasukan peguam bekas Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba bagi mengikuti pendengaran rayuan itu.

Pasukan peguam bekas Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba bagi mengikuti pendengaran rayuan itu.

Difahamkan, Datuk Seri Mohd Najib juga telah tiba kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Pada 3 Julai lalu 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan April tahun yang sama, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini