KUALA LUMPUR: Rayuan oleh pelakon, Amelia Henderson yang diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu, keputusannya diketahui Jumaat ini.
Tarikh itu ditetapkan Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong selepas mendengar rayuan peguam Mansheel Kaur yang mewakili Amelia selaku perayu dan hujahan balas peguam Ashmadi Othman yang mewakili syarikat produksi itu selaku responden.
“Saya akan memberikan keputusan (rayuan Amelia) Jumaat ini. Jika pihak-pihak ada menyelesaikan perkara (rayuan) secara baik sebelum keputusan sila maklum juga pada Jumaat ini, ” kata Pesuruhjaya Kehakiman itu dalam prosiding yang dibuat menerusi Zoom, hari ini.
Sebelum ini, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A Aida Production pada 18 April lalu.
Antara alasan utama dalam rayuan itu, adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil sebelum ini.
7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd.
Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.
Dalam penghakimannya ketika itu hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu “Aira” yang mana Amelia adalah heroin dalam drama itu.
Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah lima peratus kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.
Bagaimanapun pada Ogos lalu, Amelia berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A Aida Production.
Mahkamah Sesyen Sivil itu membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon.
Sementara itu, berhubung pembayaran ganti rugi lebih RM200,000, mahkamah turut membenarkan penangguhan bayaran tersebut.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan supaya wang itu dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia.
Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.
Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.
Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
Bagaimanapun, saman membabitkan A Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.