Tumpuan :
Mahkamah

Rasuah pegawai TNB, peniaga didenda RM20,000

 

FOTO: Peniaga R K Sandra Segar, 39 didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memberi suapan berjumlah RM6,500 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung sambungan elektrik secara haram ke premis yang diusahakannya, tiga tahun lalu. NSTP

IPOH: Seorang peniaga didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memberi suapan berjumlah RM6,500 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung sambungan elektrik secara haram ke premis yang diusahakannya, tiga tahun lalu.

R K Sandra Segar, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datuk Ibrahim Osman sejurus dua pertuduhan itu dibaca jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Tamil.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai RM3,000 kepada seorang pegawai TNB iaitu Shamsul Ariffin Rahman, 38, melalui Mohd Ashraf Mohd Yunus, 40, sebagai satu balasan baginya untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 37(3)(a) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana dengan curang mengambil elektrik ke atas pengusahaan premis tertuduh di sekitar Taiping, Perak.

Perbuatan itu dilakukan bertempat di kawasan parkir Seri Warisan Hotel, Taiping kira-kira 6.10 petang 1 Mac 2021.

Berdasarkan pertuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah memberi suapan berbentuk wang tunai RM3,500 juga kepada pegawai TNB yang sama (Shamsul Ariffin) juga melalui Mohd Ashraf sebagai satu balasan baginya untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan juga di bawah Seksyen 37(3)(a) Akta 447 kerana secara curang memgambil elektrik ke atas premis tertuduh di sekitar Taiping, Perak.

Perbuatan seperti tuduhan kedua itu pula dilakukan di dalam Coffe House, Kamalodge, Taiping kira-kira 5.50 petang pada 8 April 2021.

Kedua-dua kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai sembilan bulan (iaitu satu perempat hukuman maksimum tiga tahun penjara kesalahan di bawah Seksyen 37(3) Akta 447, atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Pahmi Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan tertuduh didenda RM10,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap dari dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Ibrahim turut menetapkan supaya wang rasuah berjumlah RM8000 dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1) (a) Akta SPRM (ASPRM) 2009 kepada Kerajaan Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini