Oleh Selwam Arjunan
BUTTERWORTH: Seorang Pegawai Kesihatan Persekitaran dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, selepas mengaku salah menerima wang suapan dengan mengesyorkan syarikat milik adiknya berhubung kerja-kerja pembekalan peralatan pada 2016.
Tertuduh, Sumardi Yazid, 41, membuat pengakuan itu atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, Sumardi yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) didakwa menerima wang tunai berjumlah RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang milik adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Mac 2016 di Pejabat Kesihatan SPT Berapit, Bukit Mertajam.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan mesej kepada orang ramai, termasuk penjawat awam, bahawa perbuatan menerima rasuah adalah kesalahan yang serius.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 dan jika gagal bayar denda boleh dipenjara selama lima bulan.
Difahamkan tertuduh membayar denda itu selepas proses penghakiman selesai.