IPOH: Rakaman video memaparkan pelanggaran kereta Perodua Ativa dengan motosikal Yamaha 135LC antara lima klip video dimainkan di Mahkamah Tinggi hari ini membabitkan pegawai polis didakwa membunuh pelajar sekolah, Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ketiga, Pegawai Siasatan Forensik Makmal, Asisten Superintendan Nur Fairuz Idris, memberitahu mahkamah, semua klip video itu diterimanya daripada pegawai penyiasat untuk menjalankan proses perolehan imej (capture image).
Beliau yang juga Juruanalisis Siasatan Audio Video Makmal Forensik PDRM berkata, permohonan diterima bagi menjalankan analisis, penjelasan rakaman video dan pengeluaran semua data video.
Daripada proses itu, beliau dapat mengenal pasti kenderaan terbabit adalah jenis kereta Perodua Ativa putih dan motosikal Yamaha 135LC.
Nur Fairuz membuat pengesahan itu selepas diminta memberi keterangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dalam pemeriksaan utama berhubung video yang dipaparkan di skrin komputer di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.
Ketika pemeriksaan balas oleh Peguam M Athimulan, saksi itu berkata, nombor pendaftaran Perodua Ativa terbabit gagal dikenal pasti disebabkan hasil analisis yang kabur dan kurang jelas.
Nur Fairuz berkata, perkara itu berpunca daripada faktor kedudukan kamera litar tertutup (CCTV) yang jauh daripada imej dikehendaki, iaitu dua kenderaan terbabit dalam kejadian itu.
Ditanya mengenai sumber lima rakaman video itu, saksi itu berkata, ia diperoleh masing-masing daripada satu unit cakera padat (CD-R), satu unit kad memori, dua unit cakera video digital (DVD-R) serta satu unit kamera papan pemuka bersama kad memori yang dibekalkan oleh pegawai penyiasat.
Athimulan: Puan tahu ke sebelum rakaman video dimasukkan ke dalam CD-R yang diserahkan pegawai penyiasat kepada puan, dari mana sumber rakaman itu? Sama ada terus daripada perakam original (asal) atau komputer riba?
Nur Fairuz: Saya tak tahu.
Athimulan: Puan tahu ada perakam?
Nur Fairuz: Ada dimaklumkan kepada saya oleh pengawai penyiasat, namun tidak diserahkan.
Athimulan: Puan verify (mengesahkan) kandungan rakaman CCTV yang diberikan kepada puan sama atau ada sebarang pengubahsuaian dilakukan daripada perakam asal?
Nur Fairuz: Saya tak buat pengesahan.
Athimulan: Adakah puan wawancara mana-mana individu yang dapatkan rakaman video itu?
Nur Fairuz: Tiada.
Ketika pemeriksaan semula oleh Afzainizam, saksi menjelaskan proses pengesahan tidak dapat dilakukan kerana pegawai penyiasat gagal mendapatkan perakam asal.
“Sebenarnya proses pengesahan perlu dibuat. Namun dalam kes ini, pegawai penyiasat tidak beri peranti asal iaitu perakam kepada saya untuk saya sahkan rakaman ini.
“Jadi saya tidak dapat membuat pengesahan kecuali pegawai penyiasat menghantar perakam itu sendiri berbanding rakaman CD-R atau DVD-R.
“Saya ada tanya kepada pegawai penyiasat berkenaan perakam asal tetapi dia beritahu tidak dapat membuat rampasan untuk perakam dan disebabkan itu dia serahkan CD-R rakaman video terbabit,” katanya.
Pada 14 Mei lalu, tertuduh, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh atas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kes selama 30 hari sehingga 17 Januari tahun depan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qi Hui.
Tertuduh diwakili peguam Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.