Tumpuan :
Mahkamah

PU Azman Berdepan Lima Pertuduhan Kes Amang Seksual

 

SEREMBAN: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali PU Azman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini.

Tertuduh berusia 41 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Berdasarkan tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 3 hingga 5 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai lalu.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam, 5 Februari lalu dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3 hingga 6 pagi, 6 Julai lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

PU Azman yang memakai baju kurta berwarna gelap kelihatan tenang ketika berada di perkarangan mahkamah.

Beliau selepas itu hadir dengan ditemani peguam, kakak dan abang iparnya pada pukul 8.30 pagi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad kemudian memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 8 Disember ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini