comscore
Tumpuan :
Mahkamah

PU Azman akan kemuka representasi – Peguam

Foto fail NSTP

SEREMBAN: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, 43, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pendakwaan ke atasnya di Mahkamah Sesyen, di sini.

Peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili tertuduh atas pertuduhan amang seksual fizikal memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim, Surita Budin, hari ini.

Mohamad Zahid yang turut ditemani Peguam Fahmi Adilah turut memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya berjalan selama tiga hari bermula hari ini.

“Saya diarahkan anak guam untuk membuat satu surat representasi untuk dihantar kepada AGC dengan tujuan berdasarkan situasi terkini iaitu anak guam sekarang berada di penjara dan sedang menjalani hukuman.

“Saya mohon satu tarikh sebutan ditetapkan kerana surat ini juga akan melibatkan kes-kes lain di mahkamah lain,” katanya.

Surita kemudiannya membenarkan penangguhan perbicaraan bagi tarikh berkenaan dan memberi tempoh seminggu kepada pihak pembelaan untuk menghantar representasi.

Beliau menetapkan 27 November depan untuk sebutan keputusan representasi dan status penelitian kertas siasatan.

Terdahulu, tertuduh yang lebih dikenali sebagai PU Azman kelihatan tenang ketika masuk ke kamar mahkamah dengan memakai kopiah hitam kemeja T putih.

Mohamad Zahid ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu anak guamnya juga sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Klang berhubung hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah itu sebelum ini.

“Sebutan pada 30 November depan (di Mahkamah Sesyen Klang) bagi rayuan untuk sabitan dan hukuman.

“Anak guam masih dalam penjara tetapi setakat ini saya boleh maklumkan anak guam berada dalam keadaan baik dan beliau maklumkan doakan beliau sahaja,” katanya.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni.

Media pada 27 September lalu melaporkan Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Azman dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini