comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Prosiding dakwa ahli keluarga suspek serang balai polis berlangsung tegang

JOHOR BAHRU: Prosiding pendakwaan lima ahli keluarga suspek menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini berlangsung dalam suasana tegang.

Ia berikutan tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, yang juga bapa suspek berkenaan, beberapa kali menyanggah pertuduhan, selain tidak berpuas hati dengan beberapa butiran pertuduhan ke atasnya.

Selesai pertuduhan pertama dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, lelaki itu berkata, dia tidak faham tuduhan menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Dia menyanggah pertuduhan itu dengan memberi alasan keluarganya sudah lama hidup mengasingkan diri.

“Saya tidak berapa faham pertuduhan itu kerana sejak 2014, saya ajak keluarga asingkan diri,” katanya sebelum Che Wan Zaidi memberi penjelasan bahawa prosiding hari ini hanyalah sebutan pertuduhan dan perbicaraan akan dilangsungkan pada tarikh lain.

Radin Imran sekali lagi menyanggah apabila pertuduhan kedua selesai dibacakan, iaitu memberi sokongan perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas IS.

“Saya tak faham, saya tak ada senjata api,” katanya dan mendapat jawapan sama daripada hakim yang turut menjelaskan tertuduh belum didapati bersalah dan boleh melantik peguam untuk mengendalikan pembelaan ketika perbicaraan nanti.

Lelaki itu kemudian bertanya sama ada dia boleh membela diri sendiri dan dijawab Che Wan Zaidi, dia boleh berbuat demikian jika tidak mahu melantik peguam.

Prosiding kemudian berjalan lancar dan diteruskan dengan pertuduhan ke atas tertuduh kedua yang juga anak sulung Radin Imran, iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34; isteri Radin Imran, Rosna Jantan, 59, dan dua anak perempuan mereka, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, serta Mariah Radin Imran, 19.

Kira-kira 20 anggota polis lengkap bersenjata turut berada dalam kamar mahkamah ketika prosiding berlangsung.

Terdahulu, ketibaan Radin Imran bersama empat ahli keluarganya itu di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, di sini, dikawal ketat lebih 30 anggota polis bersenjata, termasuk kawalan di persekitaran dan semua pintu masuk kompleks seawal jam 7 pagi.

Prosiding kira-kira 40 minit berakhir dengan hakim memerintahkan tiada jaminan dibenarkan terhadap semua tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 31 Julai depan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini