KUALA LUMPUR: Lima pempengaruh didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan mempromosikan judi dalam talian di platform media sosial masing-masing, Jun lalu.
Semua wanita itu iaitu Aileen Koh Ooi Leng, 29; Hayatunnuffus Zakariya, 32; Nurul Syifa Aliya Adanan, 21; Nurazalina Mustafa, 28; dan Noor Shahnez Marzuani, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin dan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, Aileen Koh didakwa mempromosikan judi di tempat awam secara dalam talian di sebuah restoran di Sentul, dekat sini sekitar jam 8.23 pagi, 13 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan penjara sehingga lima tahun.
Bagi Hayatunnuffus dan Noor Shahnez, mereka didakwa mengumum atau menerbitkan dengan cara mempromosikan platform perjudian di atas talian di akaun Instagram milik mereka untuk mengajak atau memperdaya mana-mana orang untuk berjudi di rumah judi terbuka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di dua restoran di Bandar Tun Razak dan Taman Maluri di Cheras, pada jam 9 dan 9.30 pagi pada tarikh yang sama.
Manakala Nurul Syifa dan Nurazalina didakwa membantu menjalankan promosi perjudian dalam talian iaitu Winbox World, KK8, We1Win dan Lucky365 menerusi akaun Instagram kendalian mereka, masing-masing menggunakan telefon pintar jenis iPhone 11 Pro Max dan iPhone 13 Pro.
Kedua-dua wanita terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Unit Pencegahan Perjudian D7, di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di Wangsa Maju, masing-masing pada jam 7 pagi dan 7.30 pagi pada tarikh yang sama.
Empat wanita itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 sehingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Selain itu, hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.
Di hadapan Majistret Aina Azahra, pegawai pendakwa Polis Diraja Malaysia, Asisten Superintendan Nom Phot Prack Dit menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 ke atas Hayatunnuffus dan Aileen Koh.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili oleh peguam Azlan Abdul Razak dan V Varunnath, memohon supaya jumlah jaminan dibenarkan pada kadar minima memandangkan kedua-dua mereka mempunyai pendapatan yang tidak tetap.
Majistret Aina Azahra kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh selain menetapkan 15 dan 26 Ogos depan bagi sebutan semula kes.
Sementara itu di hadapan Majistret Illi Marisqa, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan menawarkan jaminan ke atas Nurul Syifa, Nurazalina dan Noor Shahnez masing-masing sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka yang masing-masing diwakili peguam Mohd Rhastdan Abdul Wahab, Meor Khusyairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan A Krishnaveni memohon supaya anak guam dibenarkan jaminan minimum memandangkan kesemua mereka mempunyai pendapatan yang rendah dan tidak menentu selain penanggung ibu bapa serta keluarga.
Illi Marisqa kemudian membenarkan setiap tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi ketiga-tiga tertuduh berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa