Tumpuan :
Mahkamah

Polis tahan lelaki serang jiran selepas ditegur buat bising

Gambar tangkap layar video kejadian seorang lelaki bertindak agresif dengan menggunakan cota di Taman Rinting, Masai.

PASIR GUDANG: Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki selepas ditegur menyebabkan bunyi bising.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki berkenaan ditahan sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada 4.10 petang hari ini di Masai di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebatang kayu daripada suspek.

“Hasil ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah dan tidak memiliki rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya menerusi siaran media di sini hari ini.

Beliau berkata, polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun yang mendakwa diserang seorang individu.
Menurutnya, individu berkenaan dipercayai menyerangnya kerana tidak berpuas hati dengan mangsa membuat teguran berkaitan bunyi ekzos yang bising.

Katanya, suspek tidak berpuas hati bertindak agresif memukul mangsa dengan menggunakan sebatang kayu.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami lebam di bahagian tangan lengan kiri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini