KANGAR: Mahkamah Majistret Kangar hari ini menolak permohonan polis untuk mendapatkan perintah reman terhadap pendakwah bebas terkenal, Ahmad Husam Ahmad Baderudin berhubung kes tipu dengan menyamar menggunakan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf.
Majistret Siti Hasliza Md Ali membuat keputusan itu selepas mengambil maklum alasan dikemukakan peguam yang mewakili pendakwah berkenaan.
Ahmad Husam diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad dan Zuhair Ahmad Zakuan dan Nurul Hanani Che Nor.
Menurut Nur Iman yang mengetuai barisan peguam berkata, pihaknya membantah permohonan reman daripada polis kerana tiada keperluan bagi menahan anak guam mereka untuk satu tempoh lama.
“Ustaz Ahmad Husam sudah bebas dengan jaminan polis namun kami sudah beri aku janji untuk beri kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil selepas ini.
“Untuk ke hadapan, kita akan berbincang dengan pihak anak guam kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya di ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar.
Terdahulu, suspek tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 9.30 pagi diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan suspek dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata, suspek ditahan semalam selepas dipanggil untuk memberikan keterangan di Balai Polis Kangar sekitar jam 1 tengah hari.
“Suspek ditahan berhubung satu laporan polis yang dibuat pada pada 2 Mei lalu apabila seorang pelanggan sebuah kedai makan di Jalan Kaki Bukit, Kangar terbaca satu hantaran yang dimuat naik oleh suspek.
“Hantaran berkenaan dimuat naik sekitar jam 10 malam pada hari sebelumnya oleh suspek pada Facebooknya serta mempunyai seramai 306,000 pengikut.
“Berdasarkan pada hantaran berkenaan, suspek menggunakan gelaran dan anugerah ‘Datuk’ pada profil akaun Facebook dan pada paparan poster tertera nama beliau yang menggunakan gelaran berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Tiga kertas siasatan dibuka polis bagi menyiasat laporan berkenaan.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.
“Selain itu, kita turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017,” katanya.