Tumpuan :
Mahkamah

Polis didakwa bunuh pelajar: Kereta Ativa berada pada kelajuan 90.9km/j – Saksi

FOTO: NSTP

IPOH: Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa sewaktu perlanggaran berlaku kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang pegawai kanan polis didapati berada dalam kelajuan 90.9 kilometer per jam dan stop lamp switch (lampu brek) dalam keadaan tertutup iaitu tidak ditekan langsung.

Pembantu Teknikal Perodua Ameerul Aidil Adha Jamharuddin, 31, berkata beliau memperoleh maklumat itu daripada data yang direkodkan oleh Antilock Brake System atau Vehicle Stability Control (ABS/VSC) iaitu sistem yang menyimpan segala data operasi keselamatan kenderaan.

“Data darjah stereng menunjukkan -2.5 darjah. Pedal minyak dalam keadaan penggunaan maksimum 100 peratus dan ini adalah penyebab Brake Assist (BA) tidak beroperasi kerana situasi memecut.

“Sekiranya pemandu dalam kes ini menekan brek secara mengejut atau brek kecemasan, data Antilock Braking System (ABS) pula akan direkodkan,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes itu yang memasuki hari ke-13 hari ini.

Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata ABS/VSC merekod satu data sahaja iaitu Pre-Collision Brake (PB) dan hanya data itu direkodkan dan tiada data Brake Assist (BA) direkodkan.

“PB adalah amaran kepada pemandu sekiranya ada kenderaan atau pejalan kaki di hadapan manakala BA adalah bantuan brek sekiranya pemandu hampir berlaku pelanggaran.

“Walau bagaimanapun BA tidak akan berfungsi sekiranya pemandu mengatasi (override) sistem ini dengan cara mengelak, membrek atau memecut kenderaan,” katanya.

Terdahulu Pakar Perubatan Forensik Dr Ain Nurfarahana Hamdan, 35, berkata beliau bersetuju dengan peguam M. Athimulan yang mencadangkan Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, mengalami ‘trauma death’ sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas kejadian perlanggaran tersebut.

Athimulan: Setuju dengan saya ‘trauma death’ boleh dicegah dengan menyediakan fasiliti dan akses rawatan yang betul, cepat serta efektif kepada orang yang cedera?

Dr Ain Nurfarahana: Secara am saya setuju

Athimulan: Oleh kerana kes ini ‘trauma death’, kecederaan yang terdapat atas badan mangsa mestilah berpadanan dengan kerosakan pada pakaian, setuju?

Dr Ain Nurfarahana: Setuju

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu menjelaskan dia mencadangkan bahawa mangsa tidak mati serta-merta selepas perlanggaran kerana dalam pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan ke atas Muhammad Zaharif Affendi mendapati ada buih bercampur darah dalam saluran pernafasan.

Dr Ain Nurfarhana menjelaskan contoh kecederaan yang boleh menyebabkan kematian serta-merta adalah apabila melibatkan kecederaan pada batang otak.

“Saya boleh mencadangkan si mati ada tanda seperti hidup kerana di dalam saluran pernafasannya terdapat buih-buih yang bercampur darah dan ini biasanya terjadi bila seseorang mengalami sesak nafas,” katanya.

Selain itu, dia memberitahu ‘trauma death’ boleh dicegah dengan fasiliti dan akses rawatan yang betul, cepat serta efektif serta menjelaskan bahawa perkara itu bergantung kepada keadaan.

Pendakwaan dikendalikan TPR Afzainizam bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui manakala Mohd Nazri Abdul Razak, 45, turut diwakili peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Mohd Nazri, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini