comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Petisyen cabar keputusan PRU Parlimen Gua Musang, ditolak

 

KOTA BHARU: Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini, membatalkan dan menolak petisyen difailkan wakil kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Gua Musang.

Pengundi bagi Parlimen itu, Mohd Azmi Mahmood selaku wakil kepada calon Tengku Razaleigh memfailkan petisyen itu pada 3 Januari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar, membuat keputusan itu dan memerintahkan Azmi membayar kos sebanyak RM25,000.

Barisan peguam, Wan Rohimi Wan Daud; Nik Bahrum Nik Abdulllah; Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohamad Azizi Abu Naim di Mahkamah Pilihan Raya hari ini. – FOTO: NSTP

Dalam prosiding itu, Roslan memaklumkan, mahkamah menolak semua tiga alasan yang dikemukakan BN dalam bantahan awal.

Ia termasuk tarikh petisyen difailkan yang didakwa melebihi had masa yang ditetapkan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Roslan berkata, alasan kedua pula adalah lantikan peguam pempetisyen tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan mengikut Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Alasan ketiga, pempetisyen tidak mempunyai alasan yang kukuh bagi menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

“Dalam fakta itu, ia tidak mempunyai butiran rasuah atau sogokan termasuk tidak ada maklumat penerima dan tiada fakta mengenai pemberi rasuah,” katanya.

Pada prosiding itu, pempetisyen diwakili Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, Mohamed Baharuddin Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Hayyan.

Responden yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohamad Azizi Abu Naim, pula diwakili Wan Rohimi Wan Daud; Nik Bahrum Nik Abdulllah; Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu.

Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila tewas kepada Mohd Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.

Mohd Azizi memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh pula mendapat 21,663 undi.

Pada 8 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya membenarkan permohonan pempetisyen yang juga wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh untuk membatalkan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini