Tumpuan :
Mahkamah

Petani dipenjara 6 tahun, 2 sebatan kes cabul anak tiri 

Tertuduh diiringi anggota polis selepas didapati bersalah amang seksual anak tiri lima tahun lalu. – FOTO: NSTP

MUAR: “Bila kamu akad nikah dengan ibunya, itu tanda kamu terima dia dan anak-anaknya, bukan melakukan perkara ini (amang seksual).”

Demikian kata Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta dua sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah mencabul kehormatan anak tirinya, lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah hari ini mendapati, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh berusia 56 tahun sekali gus mensabitkan kesalahan dilakukannya.

Dalam penghakiman itu, Abu Bakar berkata, mahkamah juga membaca, menilai dan meneliti keterangan pembelaan tertuduh yang diberikan melalui kandang saksi, dan juga keterangan tambahan secara lisan dan bersumpah, selain pemeriksaan balas daripada pihak pendakwaan.

“Atas penilaian maksimum, mahkamah berpendapat tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes ini dan keterangan pembelaan oleh tertuduh adalah bersifat penafian tanpa tidak disokong oleh fakta dan keterangan munasabah.

“Berdasarkan pandangan mahkamah, keterangan khususnya saksi pendakwaan pertama (SP1) yang juga saksi mata dan mangsa (SP3) adalah konsisten.

“Tertuduh memberitahu dia memakai pakaian lengkap dengan berbaju melayu serta berkain pelikat sebaliknya keterangan SP3 yang mengatakan tertuduh hanya bertuala,” katanya.

Tertuduh yang juga seorang petani, baru baru ini terbabit dalam kemalangan didakwa melakukan amang seksual terhadap anak tirinya berusia 11 tahun ketika itu.

Kejadian berlaku pada 2019 iaitu sekitar jam 9.30 malam di sebuah rumah di Parit Jawa, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan manakala tambahan hukuman bagi Seksyen 16 pula ialah penjara lima tahun dan dua sebatan.

April lalu, mahkamah sama memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Shariff.

Sejurus menjatuhkan hukumam itu, pihak pembelaan bangun memohon penangguhan hukuman atas permintaan anak guamnya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Muar.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan serta menaikkan ikat jamin daripada RM10,000 kepada RM13,000 selain mengekalkan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini