Oleh Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bayinya di kediaman mereka di Kampung Teluk Jawa.
Tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, Muhammad Nasyran Zamzury, 28, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dua minggu lalu ke atas bayi lelakinya yang baru berusia tiga bulan, Muhammad Annas Muhammad Nasyran.
Kesalahan dilakukan di Sungai Lintang, Mukim Padang Hang dekat sini, antara pukul 9 malam, 4 Oktober 2022 hingga 1.30 petang, 10 Oktober 2022.
Pertuduhan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, sekali gus menyebabkan tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh ditahan di belakang rumahnya setelah disyaki membunuh bayi tersebut, selepas isterinya yang berusia 22 tahun melarikan diri kerana tidak tahan dipukul.
Selain pertuduhan itu, tertuduh juga berdepan tiga pertuduhan lain di mahkamah sama.
Ia melibatkan kesalahan memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam dirinya sendiri, tanpa kebenaran pihak berwajib.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 petang, 10 Oktober lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember 2022, sementara menanti laporan patologi.
Tertuduh kemudiannya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan bekas teman wanitanya yang kini berusia 26 tahun pada 2019.
Kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 pagi, 5 Mei 2019 di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra dekat sini.
Kes tersebut ditetapkan untuk disebut semula pada 20 November depan sementara menanti serahan semula dokumen dengan tiada jaminan ditawarkan.
Untuk pertuduhan terakhir, mahkamah menjatuhkan hukuman 14 bulan penjara terhadap tertuduh setelah dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 Oktober lalu kira-kira pukul 5 petang di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang dekat sini.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.
Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh hanya diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriyah Mohd Nordin untuk pertuduhan terakhir dihadapi iaitu mencederakan isterinya.
Tertuduh tidak diwakili peguam bagi tiga lagi pertuduhan yang dihadapi.