BUTTERWORTH: Seorang pesawah dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut apabila mengaitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan aktiviti perjudian dalam satu kumpulan WhatsApp, lima hari lalu.
Tertuduh, Azman Md Yusof, 46 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut iaitu menerusi kumpulan WhatsApp Kariah Permatang Sungai Dua.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tok Rai, Kepala Batas, dekat sini, jam 8.45 malam pada 25 April lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut perenggan Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Pulau Pinang Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan meminta jaminan dikenakan terhadap tertuduh sebanyak RM10,000 dengan mengambil kira kesalahan membabitkan hantaran berbaur hasutan semakin berleluasa di media sosial sejak kebelakangan ini.
Mahkamah juga diminta membuat pertimbangan mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh dengan memerintahkan Kumpulan WhatsApp kumpulan Khariah Permatang Sungai Dua dinyahaktif atas faktor menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum).
Peguam tertuduh dalam rayuannya merayu agar jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang hanya seorang pesawah tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menyara isteri serta empat anak masih bersekolah berusia lingkungan empat hingga 16 tahun.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh mengikuti syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan memuat naik sebarang hantaran dalam apa jua keadaan sekali pun di media sosial sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 20 Mei depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.