Tumpuan :
Mahkamah

Pesara tentera mengaku tidak bersalah cederakan 2 anak tiri

Pesara tentera, Nurul Haida Mohd Lazin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiayai anak tiri sehingga mengalami kecederaan di Pengkalan Chepa, pada Jumaat lalu.- FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan dua anak tirinya sehingga mengalami kecederaan dalam kejadian di Pengkalan Chepa, pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Nurul Haida Mohd Lazin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menganiayai kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun enam bulan dengan cara memukul mangsa sehingga mengalami kecederaan di bahagian mulut dan telinga.

Bagi pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Perbuatan itu dilakukan di tingkat tiga sebuah rumah di Pengkalan Chepa jam 4 petang pada Jumaat lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 31 (1) akta yang sama. Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Mohamad Syamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Sukri Mohamad.

Terdahulu, Mohd Faiz memohon jaminan RM15,000 ditawarkan kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah kanak-kanak.

Sukri pula memohon jaminan minimum diberikan memandangkan anak guamnya adalah pesara pilihan tentera tahun lalu.

“Anak guam menjaga enam orang anak iaitu tiga anak kandung dan tiga anak tiri. Malah sudah empat tahun anak guam saya menjaga anak tiri dan kejadian seperti ini tidak pernah berlaku,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh bagi Mahkamah Sesyen dan RM3,000 bagi Mahkamah Majistret.

Pada masa sama mahkamah turut menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini