SEREMBAN: Seorang pesara dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas tuduhan memperdaya seorang lelaki bagi urusan mendapatkan pekerja asing melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 2021.
Tertuduh, Mohd Logan Abdullah, 68, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dan diterangkan kepadanya di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 50 tahun dengan menjadi ejen mendaftarkan warga asing di bawah program RTK dan sengaja mendorong lelaki itu membuat bayaran RM63,000 bagi urusan berkenaan.
Kesalahan dilakukan pada Mac 2021 hingga 25 September 2021 di Green Street Homes, Seremban 2 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi mencadangkan kepada mahkamah menetapkan wang jaminan RM6,000, namun peguam Jayaprakash Rao yang mewakili tertuduh merayu mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum memandangkan tertuduh perlu menanggung isteri serta tiga anak, selain mempunyai masalah jantung dan sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Mohd Firdaus kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dan sebutan semula kes pada 16 Mei depan.
Sementara itu, di kamar Mahkamah Majistret berbeza, tertuduh turut berdepan tuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia dalam urusan mendapatkan pinjaman peribadi daripada bank dan berkaitan mendapatkan pinjaman kereta.
Mangsa memasukkan cek berjumlah RM1,400 ke atas nama tertuduh yang mana dia tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan dilakukan di Green Street Homes 1, Seremban 2, di sini, pada 29 Oktober 2005 dan sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh hingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon wang jaminan RM6,000 sebelum Majistret Yusna Khadijah Md Yusop membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin.