comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Perunding kewangan didakwa salah guna kad ATM dalam urusan pembelian rumah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang perunding kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kad ATM milik bekas guru wanita dalam urusan pembelian rumah, dua tahun lalu.

Amir Ashraf Abdullah, 50, didakwa menyalahgunakan kad ATM RHB Bank milik bekas gurunya yang berusia 66 tahun, dalam urusan pembelian rumah dan menawarkan khidmat penstrukturan kewangan sebelum memasukkan wang pinjaman dalam kad ATM tersebut bernilai RM161,000 ke dalam akaun syarikat milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar di sini pada Februari 2022.

Lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan wang RM118,147 milik seorang lagi wanita berusia 39 tahun, yang juga menantu kepada guru berkenaan bagi kegunaan tertuduh di sebuah hotel di Dang Wangi di sini antara 29 Jun dan 30 September 2022.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum enam tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, manakala peguam Mohd Syawal Mohd Razak yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menghidap penyakit anxiety dan panic attack selain menanggung keluarga.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 November ini untuk sebutan kes. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini