KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Naran Singh memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau tidak lagi mewakili warga Israel, Avitan Shalom, yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 158 peluru dan memperdagang enam pistol.
Ketika sebutan kes di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin, Naranmemaklumkan penarikan diri daripada mewakili Avitan, 38, atas alasan peribadi.
“Saya tidak lagi hadir bagi pihaknya, tetapi dia akan diwakili seorang lagi peguam, Jeffrey Ooi,” katanya.
Jeffrey yang hadir ke mahkamah, mengesahkan perkara terbabit.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 September depan untuk sebutan kes lelaki warga Israel itu yang didakwa atas tuduhan pindaan memperdagang enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara, Mac lalu.
Peguam Datuk Naran Singh memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, beliau tidak lagi mewakili warga Israel, Avitan Shalom, yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 158 peluru dan memperdagang enam pistol. pic.twitter.com/8fUtFhU46O
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 30, 2024
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, Shalom didakwa memperdagang enam jenis pistol di antara jam 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lalu di Hotel Four Seasons, Jalan Ampang di sini.
Enam pistol berkenaan ialah Glock 19 USA 9x 19 (sebelum ini 9x 10), Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P (sebelum ini N&P), 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri).
Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntuk hukuman penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.
Bagi pertuduhan pindaan kedua membabitkan pertambahan bilangan peluru, pada masa, tarikh dan tempat sama.
Shalom didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd yang masing-masing mengandungi 50 butir peluru, 16 butir peluru yang berada di dalam senjata api Glock 17, 11 butir peluru yang berada di dalam senjata api, M&P 9C Smith & Wesson dan 15 butir peluru dalam senjata api, Stoeger Cougar 8000F.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa