Tumpuan :
Mahkamah

Permohonan Kerajaan Dan Empat Yang Lain Tangguh Bayaran Ganti Rugi RM3.1 Juta Kepada Lelaki Terpotong Kepala Alat Sulit Ditolak

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Kerajaan Malaysia dan empat pihak lain untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman berhubung pembayaran ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada seorang pemuda yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 12 tahun lepas.

Selain kerajaan, empat pihak yang merupakan defendan ialah pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis di Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang di Selangor.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa membolehkan mahkamah memberi penangguhan pelaksanaan penghakiman dipohon kesemua defendan.

“Alasan rayuan telah difailkan (oleh kelima-lima defendan) di Mahkamah Rayuan dan kesukaran prosedur untuk pengeluaran wang daripada Perbendaharaan bukanlah suatu keadaan yang khas dan istimewa,” katanya.

Hakim itu berkata kerisauan berhubung wang yang diberikan kepada pemuda itu tidak dapat dikembalikan jika kelima-lima defendan menang dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan bukan merupakan keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah memberi penangguhan pelaksanaan penghakiman.

“Rayuan di Mahkamah Rayuan tidak akan mengambil masa yang lama untuk didengar” 

“Jadi, tidak mungkin wang sebanyak itu (RM3.1 juta) dapat dibelanjakan dalam masa yang singkat”

“Oleh itu, permohonan tersebut ditolak dengan kos RM3,000,” katanya.

Kelima-lima defendan itu merayu terhadap keputusan Hakim Akhtar pada 7 April lepas, yang memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada pemuda berusia 22 tahun, yang menang dalam kes saman itu.

Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada 27 Mei lepas, hakim itu berkata kelewatan kakitangan perubatan merawat kecederaan lelaki itu telah melenyapkan harapan untuk menyelamatkan alat sulitnya.

Lelaki itu, yang memfailkan saman pada 19 Julai 2018 melalui ibunya, mendakwa proses bersunat pada 13 Dis 2010 ke atasnya tidak dilakukan mengikut prosedur ditetapkan sehingga menyebabkan seluruh kepala zakar terpotong.

Akibat kecacatan kekal itu, ibu mangsa mendakwa anaknya yang ketika kejadian berusia 10 tahun telah berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya.

Loading...
Terkini