comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Permohonan Injunksi Ismail Sabri Terhadap Lokman Adam 22 November

KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan injunksi ‘inter-parte’ atau kedua-dua pihak oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap Datuk Lokman Noor Adam, ditetapkan pada 22 November ini.

Permohonan itu dibuat selepas Ismail Sabri memfailkan saman terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, kerana memuat naik video mengandungi kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar terhadap Perdana Menteri.

Peguam bela Ismail Sabri, Ragunath Kesavan, berkata hujahan secara lisan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

“Defendan (Ismail Sabri) dan plaintif (Lokman) perlu memfailkan afidavit balas masing-masing pada hari ini serta 25 Oktober ini.

“Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan bertulis pada 8 November, sehari sebelum rayuan ditutup. Hujahan lisan pada 22 November dan pengurusan kes seterusnya 25 November,” katanya kepada BH, hari ini.

Selain Ragunath, Ismail Sabri diwakili peguam, Tai Yong Fung, manakala peguam Suresh Sachithanantham mewakili Lokman.

Pada 12 September lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lokman memadamkan semua video di media sosial mengandungi kenyataan fitnah terhadap Ismail Sabri.

Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi memaksa defendan mengeluarkan video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM (Perdana Menteri) Ada Masa Jumpa Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) – Lokman Adam’.

Ismail Sabri, 62, yang juga Naib Presiden UMNO, memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 September lalu, dengan menamakan Lokman, 49.

Kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif berjumpa Dr Mahathir dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas Perdana Menteri itu, serta parti politik lain bertentangan dengan UMNO.

Ia untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 1 September lalu, Lokman didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.

Bagaimanapun, Lokman mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Mengikut kertas pertuduhan, Lokman membuat dan memulakan penghantaran bersifat jelik menggunakan Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati, pada jam 11.16 malam dan 10.28 malam, 20 dan 22 Ogos lalu.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini