comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Permohonan ikat jamin pegawai polis bunuh pelajar ditolak mahkamah

Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan Mohd Nazri untuk dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima, tahun lalu. – FOTO: NSTP

IPOH: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan pegawai kanan polis untuk dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan membunuh pelajar lelaki Tingkatan Lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di sini, pada Disember tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendengar dan meneliti hujah permohonan dikemukakan peguam diketuai Jacky Loi Yap Loong yang mewakili tertuduh, serta hujahan balas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan pangkat Deputi Superintendan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Nazri didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati dalam daerah Kinta, di sini, antara 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Bhupindar ketika membacakan keputusannya berkata, mahkamah mendapati tiada keadaan khas dan istimewa yang dikemukakan oleh pemohon yang memerlukan pemberian jaminan diberikan.

Menurutnya, berdasarkan daripada naratif dikemukakan pihak pendakwaaan, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah berpuas hati pada tahap ini, mahkamah tidak diperlukan untuk meneliti secara detail (terperinci). Mahkamah sudah tetapkan tarikh perbicaraan awal.

“Pihak pendakwaan diingatkan untuk memastikan saksi-saksi hadir,” katanya.

Sementara itu, Afzainizam ketika ditemui selepas prosiding berkata, terdapat dua alasan yang dipertimbangkan mahkamah untuk menolak permohonan jamin tertuduh iaitu keadaan isteri tertuduh yang didakwa pihak pembelaan sebagai ‘terancam’, selain faktor keselamatan tertuduh sewaktu ‘bercampur’ dengan banduan lain semasa transit di penjara.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Afzainizam, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala pihak pembelaan diwakili Jacky Loi, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

Turut hadir, peguam pemerhati yang dilantik oleh keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Sebelum ini, Bhupindar menetapkan 30 hari tempoh perbicaraan bagi tuduhan kes bunuh pelajar itu dengan perbicaraan akan bermula pada 4 November depan sehingga 17 Januari 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini