comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Permohonan ikat jamin pasangan didakwa bekal pistol kepada warga Israel ditolak

Foto hiasan

KUALA SELANGOR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menolak permohonan ikat jamin pasangan suami isteri yang didakwa membekalkan senjata api kepada seorang lelaki warga Israel pada Mac lalu.

Hakim, Ahmad Faizadh Yahya, membuat keputusan menolak permohonan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, selepas merujuk kepada prinsip Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi berkaitan dua kes membabitkan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 sebelum ini.

“Selain itu, tiada sebarang keadaan istimewa dikemukakan oleh pihak pembelaan bagi permohonan jaminan berkenaan. Justeru, mahkamah menolaknya,” katanya yang menetapkan 29 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, berhujah bahawa kesalahan kedua-dua tertuduh tidak boleh jamin.

“Ia antaranya bagi mengelakkan tertuduh melakukan kesalahan lebih berat ketika proses perbicaraan kes masih dijalankan dan turut dikhuatiri mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Peguam bela, Mohamad Isa Mohamad Basir, yang mewakili Sharifah Faraha, berkata mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk membenarkan jaminan itu.

Pada 8 April lalu, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam 29 Mac lepas.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Abdul Azim pula didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia tahu isterinya memiliki senjata api itu pada lokasi, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini