comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Perjanjian penyelesaian AS$2.5 bilion diteliti semula

Goldman Sachs. – FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Perjanjian penyelesaian Goldman Sachs dengan kerajaan berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang dikaji semula oleh pasukan petugas khas 1MDB.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersetuju dengan pandangan ketua pasukan berkenaan yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, supaya penyelesaian kerajaan dengan Goldman Sachs bernilai AS$2.5 bilion (RM10.7 bilion) sebelum ini diteliti semula.

“Johari sedang tumpu dan dalam maklumat awal, nampak ia masih berpandangan bahawa harus dirungkai semula perjanjian dengan Goldman Sachs.

“Saya setuju kerana pada awal saya anggap (penyelesaian 1MDB) ini dibuat secara tergopoh-gapah dan timbul banyak persoalan oleh kelompok yang awal dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Johari berkata Goldman Sachs mengambil kesempatan daripada rundingan lemah oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan pembayaran sejumlah besar yang masih terhutang kepada Putrajaya di bawah perjanjian penyelesaian yang dimeterai lebih dua tahun lalu.

Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam soal penyelesaian dengan firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) contohnya, kerajaan berjaya meraih penyelesaian dengan jumlah lebih tinggi.

“Seumpamanya IPIC dulu, mereka mahu selesai dengan jumlah lebih kecil, tetapi kita bertegas dan kita dapat AS$1.8 bilion (RM7.9 bilion)… ini besar. Sebab itu saya katakan, jangan pandang ringan soal ketegasan kerana ini akan menyelamatkan wang rakyat,” katanya.

IPIC dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) sebelum ini bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Loading...
Terkini