PETALING JAYA: Kes membabitkan pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan mula dibicarakan 3 Februari depan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh menetapkan perkara itu selepas pendakwaan memaklumkan mahkamah serahan dokumen berkaitan prosiding ini telah selesai.
Hakim sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac tahun depan yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Ketika prosiding pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata pihaknya akan menghantar senarai saksi melalui emel kepada barisan peguam mewakili kedua-dua tertuduh itu.
Sementara itu, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh, mengesahkan perkara itu selain memaklumkan mahkamah pihaknya sudah menerima cakera padat (CD) mengandungi laporan analisis forensik telefon bimbit tertuduh dan laporan forensik bedah siasat mangsa.
Turut mewakili pasangan itu ialah, Ramzani Idris.
Pasangan itu hadir awal pagi sekitar jam 7.45 pagi bersama ahli keluarga kelihatan berbisik antara satu sama ketika prosiding hari ini manakala sekumpulan media sudah menunggu mereka di luar pekarangan mahkamah.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.